Saturday, 9 August 2014

Presiden PAS : Syiah Imamiyah yang tidak boleh dianggap keluar daripada Islam

]


PAS berhadapan dengan dua kritikan hebat berhubung penglibatan ahlinya dalam perjuangan bersenjata di luar negara, terutama di Syria, atas alasan memerangi pemerintah Basyhar al-Assad yang zalim.

Satu kritikan memberi gambaran yang PAS menyokong atau sekurang-kurangnya tidak menghalang ahli-ahlinya terlibat dalam kegiatan bersenjata di Syria. 

Selari dengan itu, digambarkan sekali PAS berkongsi ideologi dan pendirian politik dengan kumpulan-kumpulan bersenjata tersebut.

Satu pihak lagi mengecam tindakan PAS memecat ahli-ahlinya yang terlibat dalam aktiviti bersenjata, yang disifatkan sebagai berjihad menentang rejim Basyhar yang zalim, yang juga diberi gambaran oleh sesetengah pihak yang terlibat dalam konflik itu sebagai bersekutu dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Kedua-dua pandangan ini mendatangkan fitnah kepada PAS. Satu menggambarkan PAS terkait dengan kumpulan ektremis dan teroris, dan satu lagi menuduh PAS menghalang ahlinya berjihad dan memecat mereka yang turut serta berjihad.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisan terbaharunya pada 14 Julai lalu menegaskan sekali lagi pandangan beliau tentang tindakan pergi berperang di Syria, yang kini menjadi medan perang proksi dan menyaksikan kumpulan-kumpulan Islam berperang sesama sendiri.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam tulisannya menegaskan pentingnya memahami fiqh jihad dengan benar sebelum terlibat dalam peperangan tersebut, yang sudah memakan masa tiga tahun dan mengorban ribuan nyawa rakyat awam.

Beliau sejak awal konsisten dan tegas dengan pandangan bahawa konflik Syria perlu ditangani dengan cermat agar tidak tertipu dengan muslihat musuh Islam yang mahu umat Muslim bermusuhan sesama sendiri, dan akhirnya membolehkan Israel mengambil keuntungan. 
Tuan Guru Abdul Hadi Awang menolak pandangan yang meletakkan konflik di Syria sebagai perang antara Sunni dan Syiah, dengan pihak Sunni mengangkat senjata melawan Syiah yang memerangi mereka.

Pandangan ini amat simplistik dan memberi gambaran salah tentang realiti politik di sana, terutama melibatkan perjuangan bersenjata melawan Israel, yang didepani oleh kumpulan bersenjata Hizbullah, Hamas dan Jihad Islami yang dibantu oleh kerajaan Syria dan Iran dari sudut kewangan dan persenjataan.

Presiden PAS juga menolak kecenderungan mengkafirkan dan memburukkan Syiah seperti yang banyak dilakukan oleh mereka yang berkepentingan dalam menentang Syria dan Iran.

Beliau dalam banyak ucapannya dengan ahli-ahli di seluruh negara, menerangkan tentang pandangan yang muktabar dan sahih berhubung Syiah Imamiyah yang tidak boleh dianggap keluar daripada Islam, apatah lagi sehingga memerangi mereka.

Dalam politik kompleks di dunia Arab, beliau mengakui peranan penting yang dimainkan oleh Iran dan sekutunya Syria, terutama dalam menentang Israel dan memberi perlindungan dan bantuan kepada gerakan-gerakan Islam Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami.

Tuan Guru Abdul Hadi sejak awal berpegang dengan pandangan beliau yang kini terbukti paling sahih, berdasarkan maklumat yang tepat dan penilaian yang cermat, hasil penglibatan lama beliau dalam politik dunia Islam.

Wajar sekali pemimpin-pemimpin PAS yang lain, sehingga ke peringkat akar umbi, menerima pandangan beliau dan menerangkan kepada ahli-ahli, dalam usaha membina pemahaman hal ehwal jihad, dan mencerahkan kekeruhan yang telah mencetuskan fitnah kepada PAS ini. 


– HARAKAHDAILY 21/7/2014

No comments:

Post a Comment