]
PAS berhadapan
dengan dua kritikan hebat berhubung penglibatan ahlinya dalam perjuangan
bersenjata di luar negara, terutama di Syria, atas alasan memerangi pemerintah
Basyhar al-Assad yang zalim.
Satu
kritikan memberi gambaran yang PAS menyokong atau sekurang-kurangnya tidak
menghalang ahli-ahlinya terlibat dalam kegiatan bersenjata di Syria.
Selari
dengan itu, digambarkan sekali PAS berkongsi ideologi dan pendirian politik
dengan kumpulan-kumpulan bersenjata tersebut.
Satu
pihak lagi mengecam tindakan PAS memecat ahli-ahlinya yang terlibat dalam
aktiviti bersenjata, yang disifatkan sebagai berjihad menentang rejim Basyhar
yang zalim, yang juga diberi gambaran oleh sesetengah pihak yang terlibat dalam
konflik itu sebagai bersekutu dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Kedua-dua
pandangan ini mendatangkan fitnah kepada PAS. Satu menggambarkan PAS terkait
dengan kumpulan ektremis dan teroris, dan satu lagi menuduh PAS menghalang
ahlinya berjihad dan memecat mereka yang turut serta berjihad.
Presiden
PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisan terbaharunya pada 14
Julai lalu menegaskan sekali lagi pandangan beliau tentang tindakan pergi
berperang di Syria, yang kini menjadi medan perang proksi dan menyaksikan
kumpulan-kumpulan Islam berperang sesama sendiri.
Tuan
Guru Abdul Hadi dalam tulisannya menegaskan pentingnya memahami fiqh jihad
dengan benar sebelum terlibat dalam peperangan tersebut, yang sudah memakan
masa tiga tahun dan mengorban ribuan nyawa rakyat awam.
Beliau
sejak awal konsisten dan tegas dengan pandangan bahawa konflik Syria perlu
ditangani dengan cermat agar tidak tertipu dengan muslihat musuh Islam yang
mahu umat Muslim bermusuhan sesama sendiri, dan akhirnya membolehkan Israel
mengambil keuntungan.
Tuan
Guru Abdul Hadi Awang menolak pandangan yang meletakkan konflik di Syria
sebagai perang antara Sunni dan Syiah, dengan pihak Sunni mengangkat senjata
melawan Syiah yang memerangi mereka.
Pandangan
ini amat simplistik dan memberi gambaran salah tentang realiti politik di sana,
terutama melibatkan perjuangan bersenjata melawan Israel, yang didepani oleh
kumpulan bersenjata Hizbullah, Hamas dan Jihad Islami yang dibantu oleh
kerajaan Syria dan Iran dari sudut kewangan dan persenjataan.
Presiden
PAS juga menolak kecenderungan mengkafirkan dan memburukkan Syiah seperti yang
banyak dilakukan oleh mereka yang berkepentingan dalam menentang Syria dan
Iran.
Beliau
dalam banyak ucapannya dengan ahli-ahli di seluruh negara, menerangkan tentang
pandangan yang muktabar dan sahih berhubung Syiah Imamiyah yang tidak boleh
dianggap keluar daripada Islam, apatah lagi sehingga memerangi mereka.
Dalam
politik kompleks di dunia Arab, beliau mengakui peranan penting yang dimainkan
oleh Iran dan sekutunya Syria, terutama dalam menentang Israel dan memberi
perlindungan dan bantuan kepada gerakan-gerakan Islam Hamas, Hizbullah dan
Jihad Islami.
Tuan
Guru Abdul Hadi sejak awal berpegang dengan pandangan beliau yang kini terbukti
paling sahih, berdasarkan maklumat yang tepat dan penilaian yang cermat, hasil
penglibatan lama beliau dalam politik dunia Islam.
Wajar
sekali pemimpin-pemimpin PAS yang lain, sehingga ke peringkat akar umbi,
menerima pandangan beliau dan menerangkan kepada ahli-ahli, dalam usaha membina
pemahaman hal ehwal jihad, dan mencerahkan kekeruhan yang telah mencetuskan
fitnah kepada PAS ini.
– HARAKAHDAILY
21/7/2014